iKtiBaR pEnCuRi: dOsA iTu mErEsaHkAn JiwA

~~~Cerita bermula apabila sebuah kafilah yang dipimpin oleh seorang ketua yang bijak sedang bermusafir di tengah padang pasir. Di tengah perjalanan, mereka terserempak dengan seorang pengembara yang sedang sesat. Pengembara itu hilang arah dan tidak tahu ke mana lagi hendak dituju. Lalu dia pun merayu agar dibenarkan menumpang dalam rombongan kafilah tersebut.

Ketua kafilah yang bijaksana lagi baik hati itu membenarkan pengembara asing tersebut menumpang dalam kafilah pimpinannya. Pendek cerita, setelah beberapa hari bersama rombongan kafilah tiba-tiba pengembara asing itu mengadu kepada ketua kafilah bahawa wang simpanannya telah hilang. Dia mengesyaki wangnya telah dicuri oleh salah seorang anggota kafilah. Ketua itu memberi jaminan bahawa wang itu akan kembali juga ke tangan pengembara.

Ketua itu bertindak segera dengan mengumpulkan semua anggota rombongannya. Setelah semuanya hadir beliaupun berkata, “ saya diberitahu bahawa tetamu kita telah kehilangan wang simpanannya. Saya pasti salah seorang daripada kita telah mencurinya.” Dia diam seketika. Kemudian menyambung lagi, “ saya beri peluang agar pencuri tersebut memulangkan semula wang itu segera.” Masa berlalu ‘pencuri’ yang dimaksudkan enggan menyerah diri. Pengembara tambah resah. Tetapi ketua kafilah tetap tenang sahaja. Ketua kafilah diam sahaja dan terus masuk ke khemahnya. Beberapa lama kemudian, ketua kafilah mengumpulkan sekali lagi anak-anak buahnya. Kali ini beliau berkata, “ nampaknya pencuri itu tidak mahu menyerah. Baiklah, di dalam khemah saya sekarang ada kuda tunggangan saya. Kuda itu bukan sebarang kuda tetapi dari keturunan kuda yang sakti. Saya mahu setiap orang daripada kita… termasuk saya dan pengembara ini juga masuk ke khemah itu dan memegang ekor kuda itu. Insya-Allah, jika pencuri memegang ekornya kuda itu akan menjerit.”

Seorang demi seorang anggota kafilah termasuk ketua dan pengembara masuk ke dalam khemah untuk memegang ekor kuda. Setelah semuanya selesai mengambil giliran masing-masing, suasana masih sepi. Kuda itu tidak menjerit walau sekalipun. Pengembara mula resah. Harapan untuk mendapatkan semula wangnya dirasakannya sudah malap. Namun hairan, ketua kafilah tetap tenang. Kali ini dia mengarahkan semua anak buahnya berbaris dan menghulurkan kedua belah tangan mereka. Setelah semuanya menghulurkan tangan ke hadapan, beliau mendekati seorang demi seorang dan mendekatkan hidungnya hampir ke tangan mereka. Seorang demi seorang. Tiba-tiba dia menjerit, “kau, kaulah pencuri itu… pulangkan semula wang tetamu kita kalau tidak kau akan ku sebat!” Lelaki yang dimaksudkan ketakutan. Badannya menggeletar. Tak lama kemudian diapun menyerahkan semula wang pengembara tersebut. Pengembara itu kehairanan, bagaimana ketua kafilah dapat menangkap pencuri yang dimaksudkan? Dia pun bertanya kepada ketua tersebut. Ketua kafilah tersenyum dan berkata, “mudah sahaja, saya letakkan sedikit minyak wangi pada ekor kuda. Semua orang yang masuk ke dalam khemah itu memegang ekor kuda tersebut… kecuali pencuri itu. Dia takut. Dia tidak berani memegang ekor kuda saya. Jadi apabila saya mencium tangan mereka… semua tangan berbau wangi, kecuali tangan pencuri itu. Mudah sahaja saya menentukannya!” “Bagaimana kalau kuda tuan menjerit apabila dipegang ekornya oleh orang yang tidak mencuri?” tanya pengembara itu penuh minat. “Oh, saya kenal kuda saya. Ia tidak pernah menjerit apabila dipegang ekornya…”

~~~Pengajaran yang boleh kita pelajari dari kisah ini ialah seorang yang melakukan kesalahan akan sentiasa merasa gelisah akibat rasa bersalah. Rasa bersalah ini menimbulkan rasa tidak tenang dalam jiwa. Rasa takut, cemas dan curiga akan sentiasa berkecamuk di dalam hati yang menyebabkan seseorang itu rasa normal dan tidak selesa. Pencuri dalam kisah ini telah tertangkap oleh kerana rasa takutnya sendiri. Rasa takutlah yang menyebabkan dia cuba menipu ketuanya dengan tidak memegang ekor kuda. Dia cukup yakin kalau dia memegang ekor kuda, pasti kuda itu akan menjerit. Dia cuba menipu dengan tidak memegangnya. Tetapi langkah itulah yang menyebabkan tangannya tidak berbau dan itulah petunjuk yang menyebabkan dia tertangkap. Sedangkan jika dia memegangnya, kuda itu tidak akan menjerit.

~~~Pepatah ada mengatakan, “berani kerana benar, takut kerana salah.” Ertinya, benar menjadi sumber keberanian. Manakala salah menjadi punca ketakutan. Soalnya, kenapa seorang yang bersalah diserang rasa takut? Kesalahan atau dosa pada hakikatnya memberi kesan yang negatif pada jiwa manusia. Ini kerana orang yang berdosa hakikatnya melakukan dua ‘perlanggaran’. Pertama, perlanggaran pada fitrah tabi’enya sebagai seorang manusia. Kedua, perlanggaran hukum Allah atas peranannya sebagai hamba-Nya. Kedua-dua inilah yang menyebabkan seseorang tidak akan tenang apabila melakukan suatu dosa. Manusia dijadikan oleh Allah lengkap dengan sifat-sifat fitrahnya yang tabie. Fitrah ini boleh juga diistilahkan sebagai ‘instinc’ (dalam bahasa Inggeris) dan ‘dhomir’ (dalam bahasa Arab) atau dikenali sebagai sifat semulajadi.

Salah satu sifat semulajadi ini ialah manusia menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Tanyalah sesiapa sahaja, malah kepada orang jahat sekalipun, mereka tetap sukakan kebaikan. Walaupun mereka tidak mampu melakukan kebaikan, itu soal lain. Tetapi hati mereka tetap menyukai kebaikan. Begitu juga, mereka bencikan kejahatan, walaupun mereka tidak mampu menahan diri daripada melakukannya. Fitrah semulajadi ini adalah sifat kurniaan Allah yang ada pada setiap manusia. Yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran dan dididikan. Jika fitrah sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan diperkembangkan, maka manusia akan menjadi orang yang baik. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu dibiarkan dan tidak dididik maka lama kelamaan ia akan layu dan akhirnya boleh mati. Begitu juga jika fitrah bencikan kejahatan itu dipupuk dan dididik maka seseorang akan terus membenci kejahatan dan tidak akan melakukannya.

Rasulullah saw sebagai pendidik dan pemimpin manusia sangat arif tentang hakikat ini. Sebab itu apabila beliau ditanyakan tentang apa itu dosa? Baginda menjawab: “Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya.” Pada suatu ketika seorang lelaki datang meminta izin kepada Rasulullah saw untuk berzina. Rasulullah saw tetap tenang dan terus bertanya kepada lelaki tersebut, apa perasaannya jika anak perempuan atau adik perempuan atau ibunya atau isterinya ‘dizinahi’ orang lain? Apakah ia marah? Sudah tentu lelaki itu menjawab. “marah”. Maka Rasulullah saw menjelaskan begitulah jika dia berzina sudah tentu dengan isteri, ibu, anak perempuan atau adik perempuan orang lain… Seperti mana dia tidak suka diperlakukan oldh orang lain, maka orang lain juga tidak suka diperlakukan begitu. Pemuda tadi insaf dengan nasihat secara tidak lansung dari Rasulullah saw itu. Ini disebabkan fitrah hatinya masih sukakan kebaikan dan bencikan kejahatan.

~~~Daripada hadis dan penjelasan Rasulullah saw itu jelaslah pada kita bahawa dosa adalah sesuatu yang sangat bertentangan dengan fitrah semulajadi hati setiap manusia yang sukakan kebaikan dan bencikan kejahatan. Oleh itu sesiapa yang melakukan dosa, hakikatnya dia bukan sahaja menderhakai (menentang) Allah, tetapi dia juga turut menentang hati kecilnya sendiri. Dalam diri orang yang berdosa telah ujud satu ‘peperangan’ antara dorongan melakukan dosa tersebut dengan fitrah hatinya yang bencikan kejahatan dan sukakan kebaikan. ‘Peperangan’ inilah yang menimbulkan rasa gelisah, resah dan bersalah dalam diri manusia. Inilah yang dinamakan ‘guilty consuices’. Semakin besar dan banyak dosa yang dilakukan, maka semakin besar dan mendalamlah rasa berdosa yang mencengkam jiwa seseorang.

Pakar-pakar sains juga membuktikan bahawa kejahatan yang dilakukan oleh manusia turut memberi kesan di sudut biologi, psikologi dan mental kepada pelakunya. Orang yang berbohong mislanya, mengalami perubahan pada kadar denyutan jantung, pembesaran dan pengecilan anak mata serta lain-lain proses biologi yang boleh dikesan. Rasa marah, rasa gelisah, takut dan seumpamanya boleh mengakibatkan sakit jantung, darah tinggi dan sebagainya. Oleh itu kaedah ‘mengesan bohong’ melalui ujikaji sains telah digunakan untuk mengesan apakah seseorang telah bercakap benar atau sebaliknya semasa di soal-siasat oleh polis. Begitu juga, ramai pembunuh telah berjaya ditangkap apabila mereka kerap secara sembunyi-sembunyi kerap ‘melawat’ lokasi tempat mereka melakukan pembunuhan oleh kerana dihantui oleh rasa bersalah. Di mahkamah juga, para juri, peguam dan hakim biasanya boleh mengesan pembohongan atau kebenaran bukan sahaja berdasarkan hujah dan fakta, tetapi gerak lahir, suara, mimik muka dan gaya orang yang bersalah. Walaupun itu tidak dapat dijadikan bukti, tetapi semua itu cukup bermakna untuk panduan dan penilaian terhadap sesuatu kes.

Kisah pencuri tertangkap disebabkan rasa bersalahnya ini patut dijadikan iktibar oleh manusia moden pada hari ini. Walaupun set dan lokasi serta latar-belakang kisah mungkin telah berubah, tetapi falsafah, sebab dan iktibarnya masih terus relevan hingga ke hari ini. Dosa hakikatnya sentiasa memburu manusia sepanjang zaman. Dan perlu diketahui bahawa setiap dosa yang singgah di hati akan menimbulkan rasa gelisah, rasa bersalah, takut dan hilang keyakinan diri. Manusia kini seharusnya sedar bahawa dengan melakukan dosa mereka bukan sahaja melanggar perintah Allah, tetapi juga melanggar fitrah murni yang ada di dalam diri sendiri. Sebab itulah Islam yang Allah ciptakan sebagai peraturan hidup ini dikenali juga sebagai ‘deenul fitrah’ – agama yang sesuai dengan fitrah murni hati manusia. Cuba lihat, apa yang disuruh oleh Allah… misalnya, taatkan ibu-bapa. Bukankah itu bukan sahaja disukai oleh Allah tetapi juga disukai oleh hati kecil kita. Cuba lihat pula apa yang dilarang oleh Allah… misalnya berjudi. Berjudi bukan sahaja tidak disukai Allah tetapi ia juga dibenci oleh manusia yang baik.

~~~Peraturan Allah di dunia ini sebenarnya terbahagi dua. Satu yang dikenali sebagai sunnahtullah atau ahli sains menamakannya sebagai ‘law of nature’. Satu lagi syariat yakni peraturan Allah yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah. Manusia tidak boleh melanggar sunnahtullah justeru siapa yang melanggarnya akan memudatkan hidup secara fizikal. Sunahtullah yang menetapkan api membakar misalnya, tidak boleh dilawan oleh manusia. Jika dia mendedahkan dirinya kepada api, dia akan terbakar. Fizikalnya musnah. Tetapi peraturan Allah dalam bentuk kedua yakni syariat, jika dilanggar, tidak memberi kesan secara lansung pada fizikal manusia. Misalnya, tidak ada orang yang tiba-tiba mengalami sakit perut sebaik sahaja dia tidak menunaikan perintah solat. Kesan fizikalnya memang tidak ada… Namun begitu perbuatan meninggalkan solat itu akan tetap memberi kesan kepada jiwa, emosi dan fikiran seseorang. Sekali lagi ditegaskan, bahawa jika syariat dilanggar, kesan fizikal memang tidak ada, tetapi kesan mental, emosi dan spiritualnya tetap ada. Akibatnya, orang itu tidak akan mendapat ketenangan, kebahagiaan dan keharmoninya dalam hidup.

Kisah pencuri ini sepatutnya menginsafkan kita bahawa kita bukan sahaja tidak mampu menipu Allah, tetapi kita juga tidak boleh menipu diri kita sendiri. Disamping Allah tahu siapa diri kita, diri kita sendiri juga tahu siapa kita yang sebenarnya. Orang yang menipu atau melakukan kesalahan-kesalahan lain yang seumpama dengannya adalah orang yang melakukan dosa. Dosa itu bukan sahaja membawa akibat buruk di akhirat, yakni dibalas dengan api neraka, tetapi ia juga memberi kesan buruk di dunia. Ia akan menyebabkan hilangnya ketenangan dalam hidup. Tidak ada kebahagiaan dalam melanggar perintah Allah. Justeru siapa yang melanggarnya bukan sahaja dibenci oleh Allah, tetapi juga oleh manusia lain dan dirinya sendiri. Ramai manusia yang mengalami keresahan jiwa seperti pencuri dalam kisah ini. Walaupun mereka masih bebas, tertawa ria dan kelihatan gembira di luar, tetapi jauh di lubuk hati mereka ada keresahan dan kegelisahan yang tidak dapat dibendung oleh harta, pangkat dan nama. Oleh itu, jika terlintas dorongan untuk membuat dosa… maka beringat-ingatlah. Kenangkan kisah pencuri yang dipaparkan ini. Insya-Allah, kita tentunya bijak untuk tidak menipu orang lain, kerana itu bererti menipu diri sendiri. Kita tentu bijak untuk tidak melanggar perintah Allah, justeru itu hakikatnya melanggar fitrah hati kita sendiri!

0 comments:

Pages

"Dan ingatlah ketika suatu umat daripada mereka
berkata.
"Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau di azab Allah dengan azab yang sangat keras?"Mereka menjawab,"Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu dan agar mereka bertaqwa."
(Surah Al-'Araf,7:164)